Keharmonian Kaum Berasaskan Sunnah: Kajian Terhadap Piagam Madinah
Masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sosial sering terdedah kepada konflik. Hal ini boleh menimbulkan isu seperti diskriminasi, pergaduhan, peperangan, penindasan dan sebagainya. Oleh sebab itu, kesepaduan sosial memainkan peranan penting untuk mencapai keharmonian dalam masyarakat majmuk. Yathrib (nama Madinah sebelum berlakunya peristiwa hijrah) umpamanya, terpahat dalam sejarah peradaban Semenanjung Tanah Arab sebagai 'kawasan konflik' kerana pergaduhan dan peperangan berterusan antara kaum Aus dan Khazraj. Nabi Muhammad SAW selaku ketua negara telah menggubal Piagam Madinah dalam usaha mengurus penduduk Madinah yang berbeza kaum, bahasa, agama dan adat budaya. Piagam Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia yang berjaya mengurus masyarakat majmuk sehingga Madinah menjadi sebuah negara yang disegani. Selain aspek kewarganegaraan, Piagam Madinah juga diyakini mengandungi ramuan yang mampu mengharmonikan hubungan antara kaum. Walau bagaimanapun, ia belum pernah disoroti secara kritikal dalam kajian-kajian semasa. Justeru, penulisan ini bertujuan untuk menyingkap beberapa panduan Islam dalam mewujudkan keharmonian kaum melalui Piagam Madinah yang dianggap sebagai perintis idea perlembagaan dalam sejarah Islam. Hasil kajian menunjukkan Islam tidak memusuhi kepelbagaian etnik. Sebaliknya ia dianggap sebagai salah satu pemangkin budaya, ekonomi dan politik negara bertamadun.