Suchergebnisse
Filter
5 Ergebnisse
Sortierung:
MEMAHAMI HUBUNGAN SIVIL-TENTERA THAILAND DARI PERSPEKTIF TEORI CONCORDANCE: SATU ANALISIS
In: e-BANGI: Journal of Social Sciences and Humanities, Band 20, Heft 2
ISSN: 1823-884X
Hubungan sivil-tentera Thailand sering berada dalam keadaan antagonisme dan menjadi subjek pemerhatian kerana tindakan-tindakan tidak demokratik institusi ketenteraan, terutamanya kudeta yang kerap dilakukan. Ia sedikit sebanyak menyumbang kepada pembantutan proses pendemokrasian dan polarisasi ekstrem dalam politik domestik Thailand. Namun, lanskap ini terhasil daripada kurangnya keazaman politik dan persetujuan dalam kalangan pihak-pihak berkepentingan untuk mewujudkan satu ekosistem politik domestik yang boleh memenuhi kehendak semua pihak dan membawa kepada kestabilan politik. Teori concordance yang dikembangkan oleh Rebecca Schiff tidak pernah digunakan ke atas hubungan sivil-tentera Thailand dan model ini memberikan satu alternatif yang berbeza dari teori institusi Huntington: matlamat hubungan sivil-tentera yang baik adalah kestabilan politik dan bukan demokrasi semata-mata. Melalui kajian ini, pengkaji akan mengaplikasikan model ini dan menganalisa kemungkinan sebuah hubungan sivil-tentera yang stabil dan profesional di Thailand sekiranya ia menurut prasyarat-prasyarat yang digariskan oleh teori concordance.
FAKTOR KESTABILAN FEDERALISME MULTI-ETNIK DI MALAYSIA: SATU EKSPLORASI TEORITIS
In: e-BANGI: Journal of Social Sciences and Humanities, Band 19, Heft 1
ISSN: 1823-884X
Ketahanan Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan multi etnik terbukti apabila ia berupaya mengekalkan kestabilannya sejak kemerdekaannya pada 1957 tanpa sebarang konflik serius yang menggugat keutuhannya. Namun, selepas Barisan Nasional (BN) buat pertama kalinya tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), timbul semula persoalan perpaduan dan penyatuan Malaysia sebagai sebuah negara federal multi etnik. Ini berikutan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memperjuangkan reformasi politik seperti kebebasan bersuara, pelantikan jawatan utama kerajaan yang tidak berasaskan etnik, dan penglibatan bukan Bumiputera dalam dasar afirmatif telah menyebabkan timbulnya perasaan bimbang dan tidak puas hati orang Melayu khasnya golongan konservatif terhadap perubahan dan ketidaktentuan yang dibawa oleh dasar-dasar pemerintahan PH. Akibatnya, wujud gelora-gelora ketegangan di dalam hubungan etnik khasnya antara Melayu dan bukan Melayu di Semenanjung Malaysia, ditandai dengan kebangkitan politik identiti dan kemunculan etno-populisme. Dengan menggunakan konsep federalisme dan data sekunder seperti buku, jurnal dan akhbar, perbincangan artikel ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor kestabilan federalisme multi-etnik Malaysia. Hujah utama artikel ini adalah, meskipun hubungan etnik di Malaysia cenderung tegang dan bergelora, namun sistem persekutuannya tetap stabil. Berasaskan perdebatan dan kerangka federalisme di negara-negara pelbagai etnik kontemporari, artikel ini membincangkan lima faktor yang menyumbang kepada kestabilan Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan multi-etnik; iaitu kekalnya Melayu/Bumiputera sebagai etnik majoriti dalam persekutuan (Staatsvolk), adanya elemen politik permuafakatan di peringkat pusat, wujudnya parti politik yang bersifat country-wide parties, utuhnya semangat 'holding together' dalam kalangan unit-unit persekutuan, dan tradisi kerajaan pusat yang kuat.
Kesan Elitisme dan Pluralisme dalam Politik Malaysia
Ketahanan UMNO dalam politik Malaysia sering dikaitkan dengan penerusan amalan tradisionalisme politik yang umumnya dirujuk sebagai neo-feudalisme. Dalam wacana teoritikal demokrasi, amalan ini boleh ditakrifkan sebagai elitisme di mana aktor-aktor utamanya terdiri daripada golongan berada, dengan politik hierarki serta dengan praktik penaungan dan politik identiti. Namun amalan ini dicabar hebat oleh golongan kelas menengah dan pekerja khasnya di kawasan-kawasan urban, dengan politik progresivisime, berakar umbikan dengan gerakan sivil sejak lewat 1990an. Politik yang lebih terpencar ini, ditakrifkan sebagai politik pluralisme mendapat momentum sehinggakan UMNO dan koalisinya Barisan Nasional ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Tulisan ini secara bersederhana, bertujuan untuk menyusurgalurkan dan meneroka pertembungan politik elitisme dan pluralisme di Malaysia. Mengguna pakai kaedah temu bual separa berstruktur dalam melengkapkan kajian kepustakaan, kajian ini menghujahkan ketahanan elitisme di sebalik transformasi politik yang lebih pluralistik kini, di sebalik transisi dan ketidakstabilan politik di Malaysia lewat ini.
BASE
Dari Federalisme Terpusat ke Federalisme Multi-etnik: Pengaruh Etnisiti dalam Persekutuan Malaysia
Kesusasteraan lepas cenderung melihat federalisme Malaysia dibentuk oleh faktor sejarah dan penjajahan. Oleh kerana itulah mereka selalu membahagikan perbincangan mereka di dalam federalisme Malaysia kepada tiga tahap perkembangan iaitu kolonialisme, dekolonialisme dan pasca-kolonialisme. Berbeza dari kajian terdahulu, artikel ini cuba melihat dan meneroka pengaruh etnisiti dalam pencorakan perkembangan federalisme Malaysia. Semasa proses dekolonisasi, etnisiti menjadi antara angkubah utama yang dipertimbang oleh Suruhanjaya Reid dalam menggubal perlembagaan Persekutuan Malaya 1957 yang agak terpusat bagi mengekalkan identiti Melayu, Islam dan kedudukan Raja-raja Melayu. Semasa pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 pula, etnisiti turut mempengaruhi rekayasa struktur persekutuan yang asimetrikal. Tujuannya adalah bagi memastikan identiti dan autonomi etnik di Sabah dan Sarawak terpelihara kerana tanpa jaminan ini, Sabah dan Sarawak sukar untuk bersetuju untuk membentuk Persekutuan Malaysia. Selepas rusuhan kaum pada tahun 1969 sehingga politik kontemporari kini, pengaruh etnisiti telah mencorakkan Malaysia sebagai federalisme multi-etnik. Ini dapat dilihat dengan wujudnya kebangkitan nasionalisme etnik majoriti, perdebatan mengenai asimilasi dan integrasi etnik, tuntutan perlembagaan yang lebih simetri antara pusat-negeri, persaingan etnik antara Melayu dan bukan Melayu di Semenanjung, antara Muslim Bumiputera dan bukan Muslim Bumiputera di Sabah dan Sarawak dan pertentangan antara kumpulan agama konservatif dalam progresif. Justeru, pengaruh etnisiti yang kuat ini berupaya menjejaskan matlamat serampang dua mata federalisme multi-etnik di Malaysia, iaitu mengiktiraf kepelbagaian (diversity) dan mewujudkan perpaduan (unity) kerana ia terus mengekalkan sifat tegang tetapi stabil dalam kalangan masyarakatnya. Pun begitu, artikel ini melihat struktur federalismenya yang bersifat terpusat, asimetri dan multi-etnik inilah yang menyumbang kepada kestabilan sosio-politik dan integriti persekutuan Malaysia.
BASE